Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah akan memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu pekerja gig dalam sektor e-hailing yang masih belum membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat ini sebanyak 11,109 permohonan telah diterima daripada pekerja e-hailing untuk membuat caruman KWSP.
“Kerajaan Negeri akan memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu mereka (pekerja e-hailing) yang masih belum membuka akaun KWSP,” katanya ketika berucap pada Program Sabah Moto Day 8.0 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Ahad.
Hajiji dalam pada itu menyatakan rasa gembira dengan penganjuran Sabah Moto Day 8.0 yang menarik lebih 60,000 penunggang motosikal dan peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei.
Beliau menegaskan, himpunan itu membuktikan aktiviti permotoran masih dekat di hati belia dan rakyat, di samping memberi impak positif kepada penjanaan ekonomi negeri.
“Saya kagum dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua peserta tanpa mengira usia, bangsa dan agama. Himpunan seperti ini wajar dilihat daripada sudut positif kerana ia juga menyumbang kepada ekonomi negeri,” jelasnya.
Ketua Menteri turut menekankan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius pembangunan modal insan belia sebagai pemimpin masa depan.
Menurutnya, dari tahun 2021 hingga 2025, sebanyak RM1.33 bilion telah dibelanjakan, merangkumi RM848.26 juta untuk bantuan pendidikan serta RM485 juta bagi pembangunan bakat dan kemahiran belia.
“Perkara ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu. Kita komited membangunkan golongan belia yang merupakan pemimpin masa depan kita,” katanya.
Menutup ucapannya, Hajiji turut mengajak hadirin untuk menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu yang meninggal dunia baru-baru ini dan kini menjadi perhatian rakyat seluruh negara.
