TAWAU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas polis menemui dadah dan lebih 890 butir peluru senapang angin dalam sebuah van yang diperiksa semasa sekatan jalan raya di Jalan Timur, di sini semalam.
Ketika menjalankan tugas rutin ‘Snap Spotcheck’, sepasukan anggota dari Unit MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menahan sebuah van yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurut kenyataan polis, hasil pemeriksaan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut tidak memiliki lesen memandu, dan turut memiliki satu paket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.14 gram.
Pemeriksaan lanjut ke atas van membawa kepada penemuan sebuah plastik hitam mengandungi kira-kira 890 butir peluru, dipercayai milik penumpang yang turut berada dalam kenderaan berkenaan.
“Kedua-dua suspek berumur antara 35 hingga 47 tahun itu ditahan dan dibawa ke balai polis bersama semua barang rampasan bagi membantu siasatan,” kata jurucakap polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihak polis menegaskan bahawa pemantauan dan tindakan berterusan akan dilaksanakan bagi mengekang kegiatan penyeludupan senjata dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
