KOTA KINABALU: Pemergian tragis Allahyarhamah Zara Qairina telah membuka mata masyarakat terhadap isu buli yang sekian lama terpendam di institusi pendidikan.
Seorang aktivis masyarakat yang juga merupakan ustazah, Marhamah Rosli, dalam satu hantaran tular di media sosial menyifatkan Zara sebagai simbol kepada trauma dan penderitaan mangsa buli yang sering dipandang sepi.
Beliau turut mendedahkan bahawa ramai lagi pelajar pernah menjadi mangsa, namun kes mereka tidak mendapat perhatian kerana tidak tular.
Menurut Marhamah, beliau menerima mesej daripada seorang bapa yang mendakwa anaknya turut dibuli di sekolah yang sama.
Kes tersebut dilaporkan tetapi tidak diteruskan. Situasi ini, katanya, mencerminkan betapa sistem masih gagal melindungi mangsa dan lebih mementingkan reputasi institusi.
“Buli bukan sekadar fizikal. Ia adalah sistem yang membisukan, menyindir dan meminggirkan mangsa. Ia adalah jenayah,” katanya sambil merujuk kepada peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.
Marhamah menyeru lebih ramai ibu bapa, guru dan masyarakat tampil bersuara dan berkongsi pengalaman bagi menamatkan budaya buli yang semakin membarah.
“Ini bukan soal tular atau sensasi. Ini soal nyawa dan tanggungjawab sosial. Jangan tunggu anak sendiri jadi mangsa baru kita mahu peduli,” tegasnya.
Terdahulu media melaporkan, Zara yang merupakan pelajar tingkatan 1 maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat atas bangunan sekolah menengahnya di SMA Tun Datu Mustafa Limauan, Limauan Papar baru-baru ini.
Mangsa, ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan tapak sekolah oleh warga sekolah sebelum dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, pihak perubatan mengesahkan Zara telah meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Sumber memaklumkan, kejadian berlaku ketika waktu persekolahan dan disaksikan oleh beberapa pelajar. Rakaman awal dan maklumat yang dikumpul turut menunjukkan kemungkinan Zara berdepan tekanan emosi akibat menjadi mangsa buli.
