SANDAKAN: Kerajaan diseru untuk tidak memandang ringan isu pemberhentian lebih 5,000 pekerja kontrak Petronas yang dijangka akan menamatkan perkhidmatan mereka dalam masa terdekat.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menegaskan bahawa campur tangan segera kerajaan amat diperlukan agar satu sesi libat urus melibatkan pihak Kerajaan, Petronas dan Kesatuan Sekerja dapat diadakan.
Langkah ini penting bagi memastikan keputusan penstrukturan semula tidak dibuat secara sebelah pihak.
“Isu ini bukan perkara kecil kerana ia membabitkan pekerja Bumiputera dari Sabah dan Sarawak serta ribuan ahli keluarga mereka,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Rakyat Bahagian Karamunting, semalam.
Masiung turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib golongan muda yang menjadi tulang belakang ekonomi keluarga dan kini berdepan risiko kehilangan punca pendapatan.
Menurutnya, kerajaan wajar membela kebajikan golongan ini secara adil dan menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak turut mengambil peranan lebih aktif dalam menangani isu ini memandangkan kedua-dua negeri merupakan penyumbang utama kepada hasil minyak dan gas negara.
Beliau turut mempersoalkan logik di sebalik jumlah pemberhentian pekerja yang tinggi ketika ini, dengan alasan kemerosotan keuntungan Petronas, sedangkan harga minyak dilaporkan stabil pada paras USD65 satu tong.
“Saya hairan, pada tahun 2016 ketika harga minyak menjunam ke paras USD44 satu tong, hanya 1,000 pekerja dikurangkan. Tapi kali ini, lebih 5,000 pekerja terlibat. Jika keuntungan terus merosot, sudah tentu ada yang tidak kena dengan tadbir urus Petronas,” katanya lagi.
Masiung menegaskan bahawa kebajikan pekerja, terutama dari Sabah dan Sarawak, tidak boleh dikorbankan atas alasan penstrukturan semata-mata, sebaliknya perlu diselesaikan melalui perundingan yang adil dan menyeluruh.
