KOTA KINABALU: Pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah merupakan kehilangan tokoh besar buat seluruh rakyat Sabah.
Allahyarham Tun Ahmadshah Abdullah, disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 malam, semalam di sebuah hospital swasta di sini pada usia 78 tahun.
Sebagai tanda penghormatan, Kerajaan Negeri mengisytiharkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong memaklumkan pengisytiharan itu dalam satu kenyataan rasmi. Tempoh berkabung tersebut mencerminkan penghargaan mendalam terhadap jasa Allahyarham yang pernah memimpin Sabah sebagai Yang di-Pertua Negeri dari tahun 2003 hingga 2010.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh besar negeri ini.
“Tun Ahmadshah bukan sahaja seorang pemimpin yang disegani, tetapi juga penjawat awam yang telah mencurahkan bakti sepanjang hayatnya kepada negeri Sabah. Jasa dan sumbangan beliau amat besar,” katanya.
Allahyarham pernah menyandang pelbagai jawatan penting sepanjang kerjayanya dalam perkhidmatan awam, antaranya sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah Perjawatan Negeri, Ketua Bahagian Hal Ehwal Dalaman dan Penyelidikan di Jabatan Ketua Menteri, serta Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah.
Dilahirkan di Kampung Inanam pada 9 Disember 1946, Tun Ahmadshah meninggalkan empat orang anak. Isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar, telah meninggal dunia pada tahun 2020.
Pemergian Tun Ahmadshah bukan sekadar kehilangan seorang tokoh negara, tetapi juga satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Sabah yang mengenang jasa dan kepimpinannya dengan penuh rasa hormat.
