Caption: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar bersama sebahagian yang hadir sempena Program Santai YAB Ketua Menteri Bersama Pempengaruh Sabah 2025 di North Borneo Cruise, Kota Kinabalu pada Ahad.
KOTA KINABALU: Influencer atau pempengaruh Sabah mencadangkan kepada kerajaan negeri agar menubuhkan satu entiti yang bertanggungjawab menjaga dan menyelaras gerak kerja dalam kalangan pengkarya seni di negeri ini.
Penubuhan entiti itu bagi mengangkat produk dan karya seni tempatan, selain inisiatif yang disediakan bagi membantu pempengaruh khususnya dalam bidang keusahawanan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam maklum balasnya, menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa melihat keperluan rakyat termasuk golongan seni dan pempengaruh bagi sama-sama membangun negeri mengikut kapasiti masing-masing.
“Keperluan serta permintaan golongan pengkarya dan pempengaruh akan terus mendapat perhatian kerajaan negeri bagi mengangkat hasil karya mereka sekali gus memartabat industri seni di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Hajiji pada Ahad lalu mengambil peluang beramah mesra dan mendengar permintaan serta keperluan pempengaruh di negeri ini sempena program Santai Ketua Menteri Bersama Pempengaruh Sabah 2025 bertempat di North Borneo Cruise, Kota Kinabalu.
Sempena program itu, beberapa pempengaruh berpeluang menyampaikan pandangan dan aspirasi golongan itu bagi mengangkat peranan mereka secara lebih signifikan di negeri ini.
Progran anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri Sabah menghimpunkan lebih 70 orang pempengaruh terkenal, sebagai usaha berterusan untuk mendekatkan dan menyemarakkan lagi kebersamaan di antara keraaan dan rakyat di negeri ini.
