TAWAU: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat lebih 2 kilogram dengan nilai anggaran RM87,000 dalam dua tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Tawau, 17 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 9.25 malam apabila sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki tempatan yang mencurigakan di kawasan lapangan terbang berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap lelaki berusia 44 tahun itu, pihak polis menemukan satu keping pas masuk pesawat serta satu alat ‘vacuum sealer’ dalam beg bagasinya,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Katanya, siasatan lanjut terhadap suspek pertama, membawa kepada tangkapan suspek kedua seorang lelaki berusia 21 tahun kira-kira jam 10.15 malam di lokasi yang sama.
“Pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa suspek kedua menemukan bungkusan mengandungi dadah jenis syabu seberat lebih kurang 2,493.45 gram dengan nilai anggaran rampasan berjumlah RM87,000.00,” jelas ACP Jasmin.
Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod lampau termasuk dua di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua kes berkaitan penyalahgunaan dadah, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
Sementara itu, suspek kedua memiliki dua rekod jenayah lampau di bawah kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kesalahan jenayah tipu yang dikehendaki polis, namun ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis sedang giat mengesan rangkaian pengedaran dadah ini dan menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti haram ini,” tegas ACP Jasmin.
Tambahnya usaha berterusan Polis Daerah Tawau dalam memerangi penyalahgunaan dadah tetap menyumbang kepada pelaksanaan teras pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosial dalam pelan pembangunan negeri Sabah khususnya.
Kejayaan ini juga membuktikan komitmen Polis Diraja Malaysia dalam memperkukuh keselamatan negeri, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri Sabah untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada jenayah, sihat dan sejahtera.
