KOTA KINABALU: Usaha memulihkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah terus dipergiat apabila komponen dan peralatan menara sementara Emergency Restoration System (ERS) tiba di lokasi pada jam 1.07 pagi tadi.
Sabah Electricity dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya hari ini memaklumkan, pasukan teknikal telah menjalani taklimat keselamatan seawal pagi sebelum memulakan kerja-kerja menurunkan komponen dan peralatan berkenaan daripada kontena.
“Komponen dan peralatan tersebut sedang disediakan untuk dipindahkan ke tapak pemasangan menara ERS.
“Ini merupakan satu lagi perkembangan dalam usaha memulihkan laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah susulan insiden menara T313,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Katanya, setiap peringkat kerja dilaksanakan secara teratur dengan mengutamakan aspek keselamatan serta pematuhan kepada prosedur kerja yang ditetapkan.
“Sabah Electricity terus menggembleng segala sumber, aset dan tenaga kerja bagi mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas di Pantai Timur Sabah.”
Dalam pada itu, Sabah Electricity turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan meminta orang ramai mengikuti perkembangan terkini menerusi halaman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline.
