TENOM: Seorang warga emas maut selepas dipercayai digilis kereta api ketika menggunakan troli kayu buatan sendiri untuk pulang selepas berkebun, di sini, hari ini.
Mangsa, lelaki berusia 63 tahun, dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom ketika kejadian berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PKPgB Mudi Pengiran, dalam laporan operasi JBPM Sabah memaklumkan pihaknya menerima makluman kejadian daripada polis pada jam 1.20 tengah hari sebelum enam anggota dikerahkan ke lokasi.
“Menurut maklumat awal yang diterima, seorang mangsa tersepit dilaporkan berada di bawah gerabak kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom,” menurut laporan itu.
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang mengalami patah tulang kaki dan badan serta kecederaan di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Mangsa turut dilaporkan mempunyai masalah pendengaran.
Dalam pada itu, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan akses terhad yang tidak dapat dilalui jentera bomba.
Anggota bomba terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung menggunakan troli bermotor buatan sendiri untuk meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.04 petang.
