KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi memberikan jaminan bahawa baki RM900 juta pemberian khas interim kepada Sabah akan diterima sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang pada 4 Disember 2026.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang mengesahkan perkara itu berkata, berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima daripada pegawainya, pembayaran peruntukan berkenaan dijangka dilaksanakan pada 30 November ini.
“Saya baru dimaklumkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri menelefon Ketua Menteri, ya, untuk menyampaikan pesan kepada saya bahawa beliau akan pastikan peruntukan tambahan RM900 juta itu diterima sebelum Dewan bersidang.
“Dan yang terbaru saya dimaklumkan oleh pegawai saya bahawa kemungkinan ia akan dibayar pada 30 hari bulan November,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah Tahun 2026 kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam, di sini, hari ini.
Masidi berkata, peruntukan tambahan berkenaan akan banyak membantu kerajaan negeri, selain menekankan kepentingan mempercepatkan proses membuat keputusan.
“Dan ini yang kita mahulah. Benda yang mudah untuk membuat keputusan, kita buat keputusan dengan cepatlah,” katanya.
Mengulas persediaan pembentangan belanjawan akan datang, Masidi berkata pihaknya sedang meneliti setiap komponen peruntukan bagi memastikan belanjawan mencerminkan kedudukan kewangan dan keutamaan perbelanjaan negeri.
Beliau turut menekankan kepentingan perbelanjaan berhemah dalam usaha menyelesaikan pelbagai masalah infrastruktur asas di Sabah.
