TAWAU: Seorang guru pelatih dilaporkan meninggal dunia selepas kereta jenis Perodua Kenari yang dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian kemalangan jalan raya di Bandar Sri Indah, di sini, tengah hari tadi.
Mangsa, Allahyarhamah Amierah Aqeelah Arbin, 25, yang merupakan guru pelatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 12.26 tengah hari sebelum sepasukan enam anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 12.45 tengah hari, pasukan bomba mendapati mangsa telah dikeluarkan oleh pihak KKM dan disahkan meninggal dunia.
“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi tersebut melibatkan enam anggota BBP Tawau dengan bantuan empat petugas KKM serta tiga anggota polis.
Jenazah mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
