LAHAD DATU: Seorang lelaki yang juga merupakan seorang ayah berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah merogol dua anak kandungnya sejak mangsa masih remaja.
Hakim Puan Suhaila Selag memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan secara berasingan melibatkan 11 pertuduhan, selain dikenakan 10 sebatan bagi setiap kesalahan.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Haja Mohaideen memaklumkan tertuduh melakukan perbuatan tersebut terhadap kedua-dua mangsa yang kini berusia 25 dan 22 tahun sejak masing-masing berumur 15 dan 18 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lahad Datu dan Tawau, selain tertuduh turut mengugut untuk memukul mangsa sekiranya enggan menuruti kehendaknya.
Kedua-dua mangsa akhirnya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas tidak lagi mampu menanggung penderitaan yang dialami.
Susulan laporan itu, tertuduh ditahan pada 22 Mac lalu sebelum kes dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Malati Labpak.
