BELURAN: Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan polis selepas didapati memiliki lebih 30 gram dadah jenis syabu dalam satu operasi rondaan cegah jenayah di Kampung Simpang Entilibon, Tongod, pada Isnin.
Dalam kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Tongod yang menjalankan rondaan telah menahan suspek sebelum menemui dadah jenis syabu seberat 32.35 gram.
Ketua Polis Daerah Beluran, Hasan Majid berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek turut positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut termasuk permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan warga IPD Beluran bersama masyarakat dalam memerangi jenayah dadah di daerah itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis di talian 089-511 222 bagi membantu usaha membanteras aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.
