KOTA KINABALU: Rayuan yang sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan berkaitan tuntutan “Tahun-Tahun Hilang” (1974–2021) tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan kelayakan 40 peratus hasil Sabah bagi tahun-tahun semasa seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1993 (MA63), kata Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim.
Beliau berkata, isu rayuan tersebut hanya melibatkan aspek tertentu keputusan Mahkamah Tinggi dan perlu dilihat secara berasingan daripada pelaksanaan hak Sabah yang sedang berjalan.
Menurutnya, kedua-dua perkara itu harus ditangani secara konstruktif bagi memastikan hak berasaskan Perlembagaan itu dapat direalisasikan tanpa kelewatan.
“Walaupun terdapat rayuan di Mahkamah Rayuan, ia tidak seharusnya menghalang usaha untuk menyemak dan melaksanakan kelayakan 40 peratus bagi tahun-tahun semasa.
“Kedua-dua perkara ini perlu dilihat secara berasingan dan ditangani dengan pendekatan yang lebih konstruktif,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Azrul menegaskan, Sabah amat memerlukan peruntukan tambahan tersebut bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, penangguhan pelaksanaan hanya akan memberi kesan kepada agenda pembangunan negeri dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
“Pelaksanaannya tidak wajar ditangguhkan dan perlu disegerakan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa hak 40 peratus bukan satu bentuk rundingan politik atau “bargaining chip”, sebaliknya merupakan hak Perlembagaan yang perlu dihormati dan dilaksanakan.
Beliau berkata, rakyat Sabah juga berhak mengetahui hala tuju pelaksanaan termasuk garis masa yang jelas dan komprehensif berhubung semakan serta pembayaran hak berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus bersatu dan konsisten dalam memperjuangkan hak Sabah secara berhemah dan berterusan bagi memastikan pelaksanaannya direalisasikan seperti yang termaktub.
