KOTA KINABALU: Institut Jantung Negara (IJN) dan Yayasan Sabah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembinaan hospital khusus penyakit jantung di negeri ini, sekali gus memperkukuh perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sabah.
Majlis pemeteraian itu melibatkan syarikat pelaburan Yayasan Sabah, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.
Hajiji berkata, penubuhan hospital jantung pertama di Sabah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan akses rawatan kardiovaskular berkualiti tinggi tanpa perlu ke luar negeri.
“Ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan rakyat Sabah mendapat akses kepada rawatan jantung bertaraf tinggi di negeri sendiri,” katanya.
Di bawah kerjasama strategik itu, hospital pakar jantung akan dibina di atas tapak seluas 10 ekar di Likas, sekali gus memperkukuh kemudahan rawatan penyakit kardiovaskular di Sabah.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya berkata, kewujudan hospital tersebut akan mengurangkan kebergantungan pesakit kepada fasiliti di luar negeri selain menjimatkan kos perjalanan dan mempercepat akses rawatan.
“Usaha ini juga akan membantu menyokong sistem kesihatan sedia ada termasuk perkhidmatan di Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II yang kini berdepan kekangan kapasiti,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu turut memberi impak positif dari segi pembangunan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Dalam pada itu, Pengerusi IJN, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia dan memerlukan sistem kesihatan yang lebih responsif.
“Peluasan akses kepada rawatan berkualiti tinggi amat penting supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pembukaan hospital IJN di Sabah berpotensi merangsang sektor pelancongan kesihatan dengan menawarkan perkhidmatan bertaraf global pada kos berpatutan.
Pada majlis sama, satu lagi MoU dimeterai antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang kesihatan.
Kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak peluang latihan serta pembangunan profesional kepada anak tempatan dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan.
