KOTA KINABALU: Tokoh kewangan global, Tan Sri Andrew Sheng kini dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi memperkukuh agenda ekonomi dan pelaburan negeri.
Mengumumkan pelantikan itu, Hajiji berkata pengalaman luas serta kelayakan kukuh dimiliki Sheng akan menjadi aset penting kepada Sabah, khususnya dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Kami menantikan sumbangannya, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Sheng di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, hari ini.
Sheng merupakan warganegara Malaysia yang dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an dan kini berpangkalan di Hong Kong. Beliau dikenali sebagai tokoh ekonomi antarabangsa serta sering dijemput sebagai penceramah dalam forum kewangan global.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, serta Pengurus Kanan di World Bank.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.
Kini, Sheng merupakan Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) serta ahli majlis penasihat antarabangsa bagi beberapa institusi utama China termasuk Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC).
Pada April 2013, beliau turut diiktiraf oleh TIME sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia.
