KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM10,000 kepada waris seorang lelaki warga emas yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Sandakan awal pagi Rabu lalu.
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Datuk Awang Shahminan Sahari berkata, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson telah diarahkan untuk mengesan waris mangsa bagi memastikan bantuan tersebut dapat disalurkan dengan segera.
Mangsa dikenali sebagai Agustine J. Lingam, 76, dilaporkan sedang cuba menghidupkan generator di belakang sebuah hotel sebelum tanah dari kawasan sekitar runtuh lalu menimbus mangsa.
Kejadian itu disahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung.
Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini seramai 1,306 penduduk terjejas akibat banjir di daerah Kota Marudu, Paitan dan Pitas melibatkan 40 buah kampung.
