KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot lain sebelum karam di perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya, awal pagi Selasa.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada jam 9.47 pagi sebelum pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 pagi ketika kedua-dua mangsa sedang menjalankan aktiviti memancing sebelum bot yang dinaiki mereka terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah bot lain di kawasan perairan berkenaan.
Mangsa dikenali sebagai Jeksin Eming, 40, dipercayai terjun ke laut bagi menyelamatkan adiknya, Jaidin Eming, 30, yang terjatuh ke dalam air akibat pelanggaran tersebut.
“Jeksin berjaya dinaikkan ke dalam bot sebelum dihantar ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ordine berkata seorang lagi mangsa, Jaidin, masih belum ditemui setakat ini.
Sehubungan itu, katanya seramai 10 anggota dari BBP Kota Kinabalu diketuai Komander Operasi, PBK I Asama Saruddin digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi pencarian dijalankan dengan radius sekitar tiga batu nautika dari lokasi kejadian, namun mangsa kedua masih belum ditemui setakat operasi ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata operasi SAR ditangguhkan pada jam 5.06 petang dan akan disambung semula pada pagi hari ini.
