LAHAD DATU: Tujuh individu termasuk beberapa kanak-kanak cedera ringan selepas sebuah Toyota Hilux bertembung dengan Perodua Aruz dalam kemalangan di Jalan Segama menghala ke Sandakan, pada petang Ahad.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 2.57 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu (BBP Lahad Datu) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
Ketua Balai BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Aruz yang bertembung.
“Kesemua tujuh mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba. Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Mangsa yang terlibat terdiri daripada empat penumpang Perodua Aruz iaitu seorang lelaki dewasa (selamat), seorang wanita dewasa (cedera ringan), seorang kanak-kanak lelaki (cedera ringan) dan seorang kanak-kanak perempuan (cedera ringan).
Sementara itu, Toyota Hilux pula dinaiki tiga individu terdiri daripada seorang lelaki dewasa (selamat), seorang wanita dewasa (cedera ringan) dan seorang kanak-kanak perempuan (cedera ringan).
Operasi melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan enam anggota serta satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan tiga anggota. Turut membantu di lokasi ialah seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.05 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
