KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini semalam menetapkan 15 April 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui dikerat tujuh di tempat pembuangan sampah di Indah Permai pada 12 Februari lalu.
Penetapan tarikh tersebut ditentukan bagi menunggu laporan penuh kimia, forensik, patologi dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Tertuduh, Piluta Samad, 71 tahun mengaku faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Piluta yang bekerja sendiri didakwa membunuh Hamidah Husin@Lisa, 44 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar pada kira-kira jam 6 hingga 7 malam 11 Februari lalu.
Seorang lelaki hari ini dituduh di Mahkamah Majistret membabitkan kes pembunuhan seorang wanita di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar pada 11 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan dan Majistret mengarahkan lelaki itu ditahan di Penjara Kepayan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kareena Kaut Gill Katamjit Singh dan Piluta tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuh dikerat kepada tujuhbahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar.
Kes itu terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa.
Beberapa tangkapan susulan kemudian dilakukan bagi membantu siasatan sehingga kertas siasatan dilengkapkan untuk tindakan lanjut.
