KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) telah menyiapkan sembilan laporan Pelan Induk dan Kajian Kebolehlaksanaan sebagai asas utama memandu perancangan serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata pelan strategik itu dirangka bagi memperkukuh pembangunan wilayah secara lebih seimbang dan inklusif, khususnya di kawasan yang masih ketinggalan.
“Pelan-pelan ini disediakan bagi meneruskan program dan projek pembangunan wilayah tertinggal termasuk Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah, Malaysia yang mencadangkan empat projek pemangkin dan 27 projek cadangan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Menara Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, turut disiapkan ialah Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah melibatkan lima daerah utama iaitu Keningau, Tambunan, Tenom, Tongod dan Nabawan dengan keluasan tanah 2.3 juta hektar.
Hajiji berkata sejak penubuhannya sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), SEDIA telah menerima peruntukan berjumlah RM3.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan, terutama Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan sejumlah RM646.3 juta kepada SEDIA sepanjang RMK12. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM3.7 bilion sejak penubuhan SEDIA bermula RMK9,” katanya.
Beliau mengalu-alukan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam RMK13 untuk meningkatkan keseimbangan kemajuan antara wilayah membangun dan wilayah yang masih ketinggalan.
“Pembangunan koridor dan hab pengeluaran khusus akan terus diteroka bagi memanfaatkan potensi ekonomi kawasan setempat,” katanya.
Mengulas pencapaian di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC), beliau berkata laporan “Pencapaian Outcome Projek Sabah Development Corridor (SDC) Rancangan Malaysia Ke-9 hingga Rancangan Malaysia Ke-11” menunjukkan impak pembangunan yang membanggakan.
Dalam sektor pertanian dan penternakan, pembangunan Pusat Penternakan Bersepadu Keningau (KILC) bernilai RM64.1 juta berjaya menghasilkan purata 7,168 liter susu sehari atau 2.5 juta liter setahun, menyumbang 29.6 peratus pengeluaran susu negeri pada 2022 serta mewujudkan 78 pekerjaan setakat 2024.
Bagi sektor perindustrian dan logistik, Palm Oil Industrial Cluster (POIC Lahad Datu) bernilai RM932 juta telah menjana pelaburan RM4.1 bilion dan 3,099 peluang pekerjaan dengan 42 syarikat beroperasi setakat 2024.
Dalam sektor infrastruktur dan perhubungan, pembinaan laluan pejalan kaki dan berbasikal Tanjung Aru ke UMS sepanjang 16.1 kilometer serta Jalan Dua Hala UiTM ke Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sepanjang tiga kilometer dengan terowong 600 meter berjaya mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan pelaburan di KKIP sebanyak RM8.32 bilion bagi tempoh 2017 hingga 2024, sekali gus mewujudkan 5,882 peluang pekerjaan.
Selain itu, pembinaan Jalan Tongod-Pinangah sepanjang 48.5 kilometer dengan kos RM76.8 juta berjaya menjimatkan masa perjalanan sehingga 75 peratus daripada empat jam kepada satu jam.
Hajiji berkata SEDIA turut mewujudkan Hab Pendidikan Sandakan bernilai RM100 juta sebagai Kluster Pembangunan Model Insan melibatkan empat institusi pendidikan, selain melaksanakan 1,230 projek di bawah inisiatif Madani dalam RMK12 bernilai RM102.3 juta merangkumi pembasmian kemiskinan, People Centric, Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Rekod pelaksanaan projek-projek yang berjaya oleh SEDIA sejak RMK9 hingga RMK12 ini membuktikan agensi ini mampu mempercepatkan pelaksanaan dan membuat penilaian impak di Sabah yang merupakan negeri strategik dan berpotensi,” katanya.
Beliau menegaskan jurang pembangunan antara wilayah mesti dirapatkan bagi memastikan keharmonian dan keseimbangan kemajuan negeri terus terpelihara.
“Jurang ini harus dirapatkan agar tidak berlaku wilayah yang ketinggalan. Jika perlu, ‘catching up strategies’ atau jalan pintas boleh diaplikasikan melalui penstrukturan dasar dan tindakan.
“Tumpuan tidak seharusnya terlalu menekan kepada Pulangan Pelaburan (ROI) yang segera tetapi setiap sen yang dibelanjakan akan memberi pulangan melalui kutipan cukai serta impak sosial seperti peluang pekerjaan dan perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
