PAITAN: Capaian internet di beberapa kawasan terjejas banjir di daerah ini kini dipulihkan susulan penyaluran empat unit satelit Starlink oleh SabahNet Sdn Bhd bagi menyokong operasi pengurusan bencana dan proses pemulihan pasca banjir.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kemudahan itu disediakan sebagai langkah segera bagi memastikan komunikasi di kawasan yang mengalami gangguan talian dapat berfungsi semula.
Menurut beliau, inisiatif yang digerakkan melalui SabahNet Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah kementeriannya, bertujuan memudahkan penyelarasan bantuan, penyampaian maklumat serta menyokong gerak kerja agensi terlibat di lapangan.
Empat unit satelit berkenaan telah diserahkan kepada Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu untuk tujuan penyelarasan dan penempatan di lokasi yang dikenal pasti memerlukan capaian internet segera.
“Keutamaan kita adalah memastikan komunikasi antara agensi penyelamat, petugas lapangan dan penduduk terjejas dapat berjalan lancar supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.
Beliau berharap kemudahan tersebut dapat mempercepatkan proses pemulihan di kawasan terjejas sekali gus memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian.
