TANJUNG MALIM: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan pelajar Sabah yang menuntut di luar negeri supaya mendapatkan maklumat sahih mengenai usaha dan inisiatif pembangunan kerajaan negeri serta tidak mudah terpengaruh dengan cerita luar yang tidak tepat.
Beliau berkata, pelajar perlu memahami secara langsung dasar dan program yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membawa pembangunan serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat di Sabah.
“Saya bersyukur kerana kita dapat membentuk semula kerajaan negeri dan kita akan meneruskan dasar pembangunan yang telah dirancang dan dilaksanakan.
“Kita mahu penuntut tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh kerajaan. Jangan kita terpengaruh dengan cerita di luar yang menyatakan bermacam-macam, sedangkan kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk rakyat kita di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah / Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) Tahun 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, inisiatif GRS SubFly 2026 dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 2,772 pelajar Sabah yang sedang menuntut di UPSI, sekali gus membantu meringankan beban kos perjalanan mereka.
Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap jumlah pelajar Sabah yang ramai di universiti berkenaan serta penglibatan aktif mereka dalam pelbagai bidang termasuk akademik, sukan dan kebudayaan.
“Saya dimaklumkan seramai 2,772 penuntut dari Sabah berada di sini, ini hebat sekali. Apa yang penting, pelajar dari Sabah perlu memberi tumpuan khusus dalam bidang pembelajaran kerana inilah kunci untuk berjaya pada masa akan datang.
“Saya yakin anak-anak Sabah bukan saja melonjakkan nama universiti, malah turut mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya.
Ketua Menteri turut mengingatkan graduan Sabah yang menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara supaya kembali berkhidmat di negeri ini.
“Jika ada peluang, baliklah untuk berkhidmat di Sabah dan sumbangkan kepakaran yang diperoleh kepada negeri kita,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menjelaskan kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada penyelesaian isu asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik yang dijangka dapat ditangani dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Beliau berkata peningkatan kutipan hasil negeri membolehkan kerajaan menyalurkan semula manfaat kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan pendidikan dan kebajikan, selaras dengan aspirasi pembangunan di bawah gagasan Sabah Maju Jaya.
