PENAMPANG: Jetama Sdn Bhd mencatat sejarah apabila menerajui pelaksanaan projek solar terapung pertama di Sabah bernilai RM63 juta di Empangan Babagon, sekali gus menjadikan empangan itu perintis konsep floating solar on potable water di Malaysia.
Projek berkapasiti 13.21 megawatt arus ulang alik (MWac) itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh agenda tenaga boleh baharu negeri.
“Majlis hari ini membawa makna besar kepada Sabah. Ia mencerminkan kesungguhan dan keupayaan negeri melaksanakan inisiatif tenaga boleh baharu yang moden serta berimpak tinggi.
“Projek solar fotovoltaik terapung di Empangan Babagon merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah dan juga yang pertama di Malaysia bagi konsep floating solar on potable water,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran projek itu di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, Empangan Babagon adalah aset strategik negeri sebagai sumber bekalan air utama kepada penduduk, justeru pelaksanaan projek itu perlu mematuhi aspek keselamatan dan standard teknikal yang ketat.
“Inovasi mesti bergerak seiring dengan tanggungjawab. Kejayaan projek bukan hanya diukur pada pembinaan dan pelancaran, tetapi pada operasi jangka panjang yang selamat serta mematuhi standard ditetapkan,” tegasnya.
Masidi berkata, projek tenaga boleh baharu itu selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Pelaksanaan projek seperti ini mengukuhkan kapasiti tenaga bersih, memperkasa industri hijau, membuka peluang pekerjaan dan pembangunan vendor tempatan, selain mengurangkan pelepasan karbon secara berperingkat,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama strategik antara Jetama, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) dan Sabah Development Bank (SDB) dalam merealisasikan projek berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, projek solar terapung Babagon melibatkan kawasan seluas 40 ekar, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 220 ekar permukaan empangan.
“Projek ini membuktikan bahawa Sabah melalui GLC dan rakan industri tempatan mampu menerajui inovasi tenaga boleh baharu dengan mengambil kira keperluan negeri, keutamaan rakyat serta kelestarian sumber,” katanya.
Selain Babagon, Jetama turut melaksanakan projek solar PV darat berkapasiti 15MWac di Batu Sapi, Sandakan dengan kos RM53 juta.
Dengan pelaksanaan kedua-dua projek itu, kapasiti baharu sebanyak 28.21MWac ditambah. Digabungkan dengan ladang solar sedia ada di Labuan berkapasiti 10MWac, jumlah keseluruhan kapasiti solar di bawah inisiatif Jetama kini mencecah 38.21MWac.
Pelaburan keseluruhan RM116 juta bagi projek di Babagon dan Batu Sapi dilihat sebagai langkah konkrit memperkukuh kapasiti tenaga boleh diperbaharui Sabah serta mempercepat agenda pembangunan ekonomi hijau negeri.
