KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah kini memiliki pegangan sebanyak 20 peratus dalam projek minyak dan gas PETRONAS di perairan Sabah, sekali gus menandakan penglibatan langsung negeri itu dalam pengurusan serta pembangunan sumber tenaga strategik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian bersejarah tersebut akan memberikan pulangan jangka panjang kepada negeri dan rakyat Sabah, selain mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri secara keseluruhan.
“Sabah kini mempunyai pegangan 20 peratus dalam projek minyak dan gas PETRONAS di perairan Sabah. Ini bermakna negeri kita terlibat secara langsung dan insya-Allah hasilnya akan memberi pulangan kepada Sabah serta rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, langkah itu dijangka membantu meningkatkan pendapatan negeri, di samping memastikan pengurusan sumber tenaga dilaksanakan secara berhemah, telus dan mampan bagi menjamin kepentingan generasi akan datang.
“Kerjasama ini akan mengukuhkan kedudukan ekonomi Sabah dan memastikan pengurusan sumber tenaga dilaksanakan secara mampan untuk jangka panjang,” katanya lagi.
Hajiji turut menjelaskan bahawa kerjasama strategik antara SMJ Energy dan PETRONAS mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam membina masa depan tenaga Sabah yang lebih kukuh dan berdaya saing.
“Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama untuk membina masa depan tenaga Sabah yang lebih kukuh, di samping memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh generasi hari ini dan akan datang,” ujar beliau.
Terdahulu, Ketua Menteri memenuhi jemputan makan malam yang dihoskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, di Semuka Cafe, Seri Negara, di sini malam tadi.
Pada majlis tersebut, Hajiji turut berbincang bersama Ahli-Ahli Parlimen Sabah mengenai pelbagai isu semasa, termasuk perkembangan terkini kerjasama kerajaan negeri dengan PETRONAS menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA).
Majlis makan malam itu turut dihadiri beberapa Ahli Parlimen Sabah, antaranya Datuk Lo Su Fui, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Datuk Matbali Musah dan Riduan Rubin.
Pada sebelah petang sebelumnya, Ketua Menteri menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen-Dokumen sempena memperingati kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
