KOTA KINABALU: Pegawai dan kakitangan negeri yang merasakan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan secara berkesan perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan atau Ketua Menteri bagi pertimbangan penempatan semula, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata langkah itu penting bagi membuka ruang penambahbaikan, memperkasa keupayaan perkhidmatan awam serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Menurutnya, penjawat awam bukan sekadar pelaksana arahan, sebaliknya rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung kepada rakyat.
“Perkhidmatan awam adalah tulang belakang kestabilan dan keberkesanan pentadbiran. Kerajaan boleh bertukar, dasar boleh berubah, namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral dan berorientasikan rakyat,” katanya ketika menyampaikan Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Jumaat.
Hajiji menegaskan penjawat awam perlu terus berpegang teguh kepada disiplin dan integriti, sambil memberi jaminan Kerajaan Negeri komited mewujudkan pentadbiran yang kemas, tersusun dan berdisiplin kerana sebarang perlakuan tidak berintegriti boleh memberi kesan besar kepada individu, institusi dan negeri.
Bagi memperkukuh integriti perkhidmatan awam, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri sedang berusaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ABMS 37001:2025 secara bersepadu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat Pilihan Raya Negeri ke-17 yang memberi kestabilan politik, sekali gus membolehkan kerajaan memperkukuh pentadbiran, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Hajiji berkata kestabilan itu juga membuka ruang kepada pembaharuan pentadbiran termasuk cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal, penstrukturan semula kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan GLC, selaras dengan aspirasi rakyat serta kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
“Dengan kerjasama padu antara kepimpinan negeri dan penjawat awam, saya yakin momentum kejayaan negeri ini dapat dikekalkan demi masa depan Sabah,” katanya.
