KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah akan memfokuskan isu asas rakyat khususnya bekalan air, elektrik dan jalan raya sebagai teras utama gerak kerja sepanjang penggal ini, sejajar komitmen kerajaan negeri untuk menoktahkan masalah berkenaan dalam tempoh lima tahun.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, tumpuan itu akan digerakkan melalui sesi libat urus dan kerja lapangan bagi menilai kemajuan projek infrastruktur serta mempercepat penyelesaian isu yang dianggap “legasi” akibat ketidakstabilan politik sebelum ini.
Beliau berkata, kestabilan politik semasa memberi peluang terbaik untuk menangani keperluan rakyat secara menyeluruh, dengan sasaran memastikan bekalan air dan elektrik lebih efisien serta jaringan jalan raya yang lebih baik dinikmati rakyat Sabah.
Dalam perkembangan sama, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus memperkasa penglibatan mahasiswa melalui Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan program Destiny SMJ Anak Sabah bagi mengangkat aspirasi pelajar ke peringkat dasar. Antara hasil sebelum ini ialah inisiatif subsidi pengangkutan untuk pelajar dalam dan luar negeri.
Azrul turut memaklumkan pelancaran Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 membuka ruang baharu idea, termasuk cadangan pendidikan percuma untuk pelajar di IPT milik kerajaan negeri seperti UCSF dan KTYS, serta pertimbangan subsidi atau pendidikan percuma bagi sekolah-sekolah milik kerajaan negeri dan sekolah agama.
Bagi menyuburkan idea dasar, Pemuda akan menganjurkan Simposium SMJ sebagai pentas perbincangan melibatkan sayap pemuda parti kerajaan, wanita dan beliawanis, termasuk memperkenalkan agenda baharu seperti ekonomi biru (blue economy).
Selain itu, Pemuda memperkenalkan inisiatif kesukarelawanan GAHMUDA sebagai pasukan hadapan bantuan kecemasan dan khidmat komuniti, sambil menegaskan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan dasar kerajaan negeri yang bersifat inklusif, termasuk pengiktirafan UEC serta bantuan pendidikan kepada pelajar Tionghoa.
