SUNGAI PETANI: Senarai baharu barangan keperluan yang boleh dibeli menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka dikemas kini selewat-lewatnya sebelum Ramadan tahun ini, dengan barangan basah antara yang sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, terdapat permintaan daripada pelbagai pihak agar skop barangan SARA diperluaskan, termasuk keperluan harian seperti ikan dan ayam.
“Ada pandangan yang diberikan oleh beberapa pihak dan kementerian sedang meneliti untuk memasukkan barangan lain kerana terdapat permintaan supaya barangan basah seperti ikan, ayam dan sebagainya dimasukkan.
“Kita jangkakan pelaksanaannya dapat dibuat sebelum Ramadan ini supaya menjelang Aidilfitri atau perayaan lain selepas itu, ia dapat memberi kelegaan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai aktiviti gotong-royong sempena Program Menyelusuri Desa – Jelajah Kasih MADANI di Surau Kampung Perak, Bukit Selambau, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan turut meneliti mekanisme terbaik bagi memperluas skop SARA agar tidak hanya terhad kepada senarai sedia ada, selain membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Selain itu, katanya, lebih banyak kedai kecil khususnya di kawasan luar bandar akan diberi peluang menyertai program berkenaan bagi membolehkan penerima SARA mendapatkan barangan keperluan di premis berhampiran.
Muhammad Kamil turut memaklumkan bahawa bilangan penerima SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berubah setiap tahun bergantung kepada status ekonomi semasa isi rumah.
“Peruntukan keseluruhan berjumlah RM15 bilion dan pada bulan ini kerajaan akan melakukan semakan semula serta mengeluarkan senarai baharu penerima SARA dan STR.
“Ada penerima yang telah keluar daripada kategori miskin dan ada yang baharu tersenarai, sebab itu pemberian SARA tahun ini sedikit lewat bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya.
Sumber: BERNAMA
