SEMPORNA: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) penglihatan ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh rumah setinggan di Kampung Perigi, di sini, pada pagi Jumaat.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, PPgB Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.12 pagi sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan tujuh rumah setinggan jenis tidak kekal dan keseluruhan kawasan terbabit terbakar 100 peratus. Semasa operasi, pasukan menemui seorang mangsa wanita OKU penglihatan berusia 58 tahun rentung di ruang bilik rumah pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Munairaya Baluan, 58. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan air dari tangki jentera dan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.57 pagi sebelum ditamatkan pada jam 2.05 petang.
Menurut Rastam, beberapa agensi lain turut membantu operasi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Sabah Electricity dan Jabatan Air.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta memastikan langkah keselamatan kebakaran dipatuhi, khususnya di kawasan penempatan padat,” katanya.
