TAWAU: Daerah ini berpotensi besar muncul sebagai hab pertanian utama di Sabah berikutan kesuburan tanahnya yang diiktiraf antara terbaik di negeri ini, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata Tawau menduduki tempat pertama sebagai kawasan paling subur di Sabah, diikuti Tenom, sekali gus memberi kelebihan besar kepada pembangunan pertanian berasaskan teknologi dan inovasi.
Menurutnya, penggunaan bahan tanaman baharu serta sokongan teknologi moden mampu melonjakkan lagi sektor pertanian negeri.
Jamawi berkata demikian selepas merasmikan Pameran Pertanian dan Akuakultur Tawau 2026 (TAAE 2026) yang berlangsung dari 23 hingga 25 Januari di Dewan Masyarakat Tawau, melibatkan penyertaan 50 gerai pameran.
Menurut beliau, pameran berkenaan menjadi platform penting mempamerkan teknologi terkini, inovasi serta produk makanan baharu hasil bimbingan kementeriannya dan Kementerian Perindustrian dan Keusahawanan, selain membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi menekankan potensi varieti avokado QAV1 yang kini dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah, hasil penyelidikan Stesen Penyelidikan Pertanian Quoin Hill, Tawau.
Katanya, varieti berkenaan mempunyai kualiti setanding atau lebih baik berbanding avokado import dan berpotensi besar untuk pasaran eksport.
“Hasilnya berkrim, lemak dan manis dengan purata berat sekitar 500 gram sebiji serta boleh disimpan lebih lama, sesuai untuk eksport,” katanya, sambil memaklumkan permintaan terhadap avokado dan nanas MD2 dari Sabah semakin meningkat namun bekalan masih belum mencukupi.
Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Pertanian menyediakan benih serta bahan tanaman bagi menggalakkan penglibatan lebih ramai masyarakat, termasuk melalui Inisiatif Kebun Dapur yang akan dilancarkan pada 15 Februari ini sebagai langkah permulaan pertanian berskala kecil.
Jamawi turut menggesa petani memilih varieti tanaman berasaskan keperluan pasaran dan menyasarkan penanaman 50,000 pokok avokado bagi memenuhi permintaan eksport, selain memaklumkan semua agensi di bawah kementeriannya akan digerakkan untuk memperkukuh sektor pertanian Sabah secara menyeluruh.
