KOTA KINABALU: Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak dijangka memperkukuh sistem bekalan elektrik Sabah agar lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan berasaskan bahan api fosil, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, projek interkoneksi itu juga akan memperkukuh margin rizab elektrik negeri serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kebolehpercayaan bekalan tenaga di Sabah.
Menurutnya, kerjasama strategik bersama Sarawak bukan sekadar melibatkan bekalan elektrik merentasi sempadan, malah mencerminkan semangat pembangunan bersama Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan serantau.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Menurut beliau, projek berkenaan merupakan langkah penting ke arah merealisasikan visi BIMP-EAGA, selain menyokong pembangunan infrastruktur tenaga rentas sempadan menerusi Grid Kuasa ASEAN (APG) yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, perindustrian dan pembuatan.
Sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Hajiji berkata Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo, membuka potensi perdagangan tenaga rentas sempadan serta mewujudkan asas kepada pasaran tenaga serantau yang lebih bersepadu dan cekap.
Interkoneksi Sabah–Sarawak, katanya, juga membuka laluan kepada hubungan grid masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan selatan Filipina.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menyedari peningkatan permintaan elektrik sejajar dengan pertumbuhan populasi, pembangunan industri dan luar bandar.
Justeru, pelbagai strategi berfasa jangka pendek, sederhana dan panjang telah dilaksanakan melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan bagi memastikan margin rizab penjanaan mencukupi serta meningkatkan daya tahan sistem tenaga negeri.
Hajiji berkata antara inisiatif utama ialah pembangunan projek penjanaan tenaga baharu dengan campuran sumber yang pelbagai, termasuk loji gas sebagai tenaga peralihan serta pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan angin, selain teknologi penyimpanan tenaga termaju.
“Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, Kerajaan Negeri komited memastikan sektor tenaga Sabah berkembang secara lestari, rendah karbon dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta masa depan negeri,” katanya.
