TAWAU: Polis menahan dua lelaki tempatan selepas didapati memiliki vest bertulis “PDRM” serta dadah disyaki syabu dalam satu pemeriksaan ketika rondaan di kawasan Fajar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia dari Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan bit di hadapan sebuah bank di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek, polis menemui satu vest pantylilan berwarna hijau bertulis ‘PDRM’ serta sebuah topi berlambang loreng,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, polis turut menjumpai sebuah beg pinggang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.10 gram.
Kedua-dua suspek, masing-masing berusia lingkungan 32 hingga 43 tahun, ditahan untuk tujuan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 89 Akta Polis 1967.
Polis menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan lambang pasukan keselamatan atau terlibat dengan aktiviti dadah.
