TONGOD: Seorang wanita warga emas melecur di bahagian lengan selepas dua buah rumah musnah dalam kebakaran yang turut melibatkan sebuah kedai runcit serta beberapa kenderaan di Kampung Bolot, Tongod, pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.12 tengah hari sebelum pasukan digerakkan ke lokasi sejauh 156 kilometer dan tiba sekitar jam 2.20 petang.
Menurutnya, kebakaran itu memusnahkan sepenuhnya dua rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan 22×20 kaki dan 15×20 kaki, sebuah kedai runcit 18×18 kaki, sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal serta dua unit enjin bot.
“Pasukan bomba bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Kuayup menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 600 kaki dengan satu pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang mangsa wanita berusia 62 tahun mengalami kecederaan melecur di lengan dan telah menerima rawatan awal daripada petugas perubatan di lokasi kejadian.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 2.31 petang dan ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 4.31 petang selepas pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain di kawasan berkenaan.
Operasi melibatkan lima anggota BBP Kinabatangan dengan bantuan pelbagai agensi termasuk polis, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan RELA.
