KEMAMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas dipercayai tercekik biji rambutan dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Neram 1, di sini, pada Isnin lalu (19 Jan).
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mangsa sedang menikmati buah rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.
Menurutnya, kakak mangsa telah mengupas buah rambutan sebelum memberikannya kepada mangsa, namun kanak-kanak itu tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas dipercayai akibat biji rambutan tersangkut di kerongkong.
“Mangsa segera dibawa ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.50 petang hari yang sama,” katanya.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat tercekik, selain menemukan biji rambutan di dalam kerongkong kanak-kanak berkenaan.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak, khususnya ketika mereka menikmati makanan yang berisiko menyebabkan tercekik.
