KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kota Kinabalu mengesahkan menerima laporan kes mati mengejut (SDR) melibatkan seorang lelaki yang disyaki terjatuh dari sebuah bangunan bertingkat di Penampang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada Selasa (13 Jan), kira-kira jam 7.30 malam di Lido Four Seasons, Lintas Jaya, Penampang.
Menurutnya, mangsa dipercayai seorang lelaki warga tempatan, namun identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.
“Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat, mengenali mangsa atau merupakan ahli keluarga atau waris diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata orang ramai boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, SI Razmi Omar, Ketua Polis Balai Tanjung Aru di talian 013-980 2326.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh mengganggu siasatan, sementara siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
