TUARAN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki diremppuh sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor yang dipercayai memotong di kawasan selekoh di Jalan Tamparuli–Ranau, Kampung Koporingan, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu, mangsa, Mustofa, 44, dan isterinya, Nur Shilla Abdullah, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati pemandu Ford Ranger Raptor yang menghala ke Kota Kinabalu dari Ranau cuba memintas kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang pasangan berkenaan dari arah bertentangan.
“Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa tercampak ke dalam gaung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, motosikal mangsa turut terseret di bawah pacuan empat roda berkenaan hingga ke bahu kanan jalan, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu mengalami kecederaan di tangan kanan, sementara seorang penumpang tidak cedera. Kedua-duanya dibawa ke Hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bongol selepas membeli keperluan persekolahan anak-anak. Mereka meninggalkan tiga orang cahaya mata berusia tujuh, 13 dan 17 tahun yang masih bersekolah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB Mohamad Nor bin Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 4.24 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah Ford Ranger Raptor dan motosikal Yamaha LC. Dua mangsa di dalam kenderaan pacuan empat roda telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dihantar ke hospital, manakala penunggang serta pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
