SEMPORNA: Sebuah bot nelayan musnah sepenuhnya selepas terbakar dalam kejadian di perairan hadapan Sri Gaya, di sini, petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, PBKI Akimullah Adan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.27 petang sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 5.41 petang.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah bot nelayan telah terbakar 100 peratus. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan pam angkut dengan satu aliran sepanjang 100 kaki, menggunakan sumber air laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6 petang dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Operasi pemadaman melibatkan dua bot aluminium dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.32 malam selepas pasukan bomba memastikan keadaan selamat.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
