BELURAN: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan, Toyota Hilux dan Toyota Unser, di Jalan Telisai Sapi Nangoh, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.57 tengah hari sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
“Seramai tujuh anggota BBP Beluran dikerahkan ke lokasi kejadian dan jentera tiba pada jam 1.38 tengah hari selepas menempuh jarak kira-kira 45 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, kemalangan berkenaan melibatkan enam mangsa keseluruhan. Empat mangsa yang menaiki Toyota Hilux terdiri daripada dua orang dewasa dan dua kanak-kanak mengalami kecederaan ringan.
“Bagi kenderaan Toyota Unser pula, seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa perempuan dewasa yang menaiki Toyota Unser mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Beluran menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat diketuai oleh PBK II Isfloronny Lim sebagai Komander Operasi dan dibantu sebuah jentera CFRT serta sebuah kenderaan Hilux.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.56 petang selepas keadaan disahkan selamat.
Selain JBPM, operasi turut melibatkan enam anggota PDRM dan tiga petugas KKM bagi membantu kawalan lalu lintas serta rawatan mangsa di lokasi kejadian.
Kes kini disiasat oleh pihak polis untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
