KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, disahkan mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya, pagi tadi, dan kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff berkata, hasil penilaian perubatan yang dijalankan mengesahkan kecederaan tersebut, menyebabkan Dr Mahathir perlu menjalani rawatan serta pemerhatian rapi oleh pasukan perubatan.
Menurutnya, Dr Mahathir dijangka dimasukkan ke hospital bagi tempoh beberapa minggu bagi memastikan proses rawatan dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Selepas menjalani penilaian perubatan, disahkan bahawa Tun mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan. Tun dijangka dimasukkan ke hospital untuk tempoh beberapa minggu bagi rawatan dan pemerhatian,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan dalam kumpulan media rasmi Dr M Media Updates di aplikasi WhatsApp.
Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan terjatuh di kediamannya kira-kira jam 7.30 pagi sebelum dibawa ke IJN sekitar dua jam kemudian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sufi turut memaklumkan bahawa Dr Mahathir berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital dan kini sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan lanjut oleh pasukan perubatan IJN.
Sumber: Harian Metro
