KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja mengecat rumah di Lot 21, Phase 3, Kampung Likas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.03 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan selepas mengalami kecederaan parah termasuk terbakar serta putus pergelangan tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, TPgB Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum 10 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba enam minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja mengecat rumah. Mangsa mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi turut melibatkan kerjasama Sabah Electricity, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kawasan kejadian selamat.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.10 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika menjalankan kerja-kerja berhampiran sumber elektrik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
