KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah menyeru seluruh rakyat Sabah agar mengurangkan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang akan bermula pada tahun 2026.
Beliau berkata, tahun 2025 merupakan tempoh yang mencabar dengan berlangsungnya Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-17 yang menentukan hala tuju kepimpinan negeri, sebelum Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat untuk menerajui Kerajaan GRSPlus bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor diangkat semula sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal DUN ke-17, selari dengan kehendak rakyat yang mahukan kesinambungan kepimpinan parti tempatan sebagai tonggak utama pentadbiran negeri.
“PRU DUN ke-17 menjadi referendum jelas bahawa rakyat Sabah menginginkan kesinambungan kepimpinan supaya agenda SMJ 2.0 dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan sempena menyambut Tahun Baharu 2026.
Aksyah berkata, Ketua Menteri sebelum ini turut memberi penekanan terhadap pelaksanaan projek infrastruktur serta reformasi institusi termasuk melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai antara fokus utama pentadbiran SMJ 2.0.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak untuk berehat seketika daripada berpolitik dan bersama-sama memastikan setiap dasar serta inisiatif di bawah SMJ 2.0 dapat dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan rakyat.
“Sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan amat diharapkan supaya dasar Kerajaan GRSPlus mampu menjamin kehidupan rakyat yang aman, makmur, stabil dan sejahtera,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Sabah sambil berharap tahun baharu ini membawa kemajuan dan kesejahteraan berterusan kepada negeri.
