PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga tempatan ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas disyaki menggunakan MyKad milik orang lain bagi menebus bantuan BUDI95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) JPN Putrajaya dalam kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat susulan aduan pemilik sebenar MyKad selepas mendapati berlaku penebusan bantuan berkenaan tanpa pengetahuannya.
Siasatan awal mendapati suspek berusia 42 tahun itu menggunakan MyKad terbabit di sebuah stesen minyak Petron di Gemencheh bagi tujuan penebusan bantuan kerajaan berkenaan.
Menurut JPN, suspek ditahan di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Baru, Sungai Lerek pada jam 12 tengah hari, 26 Disember lalu.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) dan Peraturan 25(1)(o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan yang bukan miliknya.
“Permohonan perintah reman akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Tampin pada 27 Disember 2025 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPN menegaskan bahawa penggunaan atau pemilikan MyKad milik individu lain bagi apa-apa tujuan termasuk penebusan bantuan kerajaan merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Orang ramai yang menemui MyKad turut diingatkan supaya segera menyerahkannya kepada JPN atau balai polis berhampiran bagi mengelakkan penyalahgunaan.
