Topik berkenaan cara untuk menurunkan berat badan tidak pernah ada penghujungnya jika dibahas.
Terdapat beberapa cara yang dianggap efektif untuk menurunkan berat badan seperti diet atau senaman kardio.
Namun, tidak dengan cara itu sahaja kerana masih terdapat beberapa hal lain yang boleh membantu kita untuk menurunkan berat badan seperti contoh tidur selama 8 jam per malam.
Fakta ini terbukti melalui satu kajian yang dilakukan oleh para pengkaji di University of Chicago dan University of Wisconsin-Madison.
Mereka mendapati dengan meningkatkan tempoh masa tidur menjadi 8.5 jam per malam, boleh mengurangkan jumlah kalori yang dikonsum selama satu hari.
Dalam tempoh 4 minggu para pengkaji mengamati 80 orang dewasa berusia 21 hingga 40 tahun yang berat badannya berlebihan.
Mereka yang menjadi peserta bagi ujian penelitian ini memiliki masa tidur yang kurang dari 6.5 jam per malam.
Melalui ujian klinikal rawak, sebahagian dari peserta diminta untuk melanjutkan lagi masa tidur mereka sebanyak 2.5 jam.
Hasilnya mendapati bahawa mereka yang tidur 8.5 jam mempunyai lebih sedikit kalori tanpa menjalani perubahan dalam diet atau aktiviti fizikal.
Para pengkaji menyimpulkan bahawa mereka yang tidur 8.5 jam per malam, mengurangkan pengambilan kalori secara keseluruhan mereka dengan purata 270 kalori setiap hari.
Bermaksud, mereka berhasil menghilangkan lebih kurang 11.7 kilogram dalam penurunan berat badan selama 3 tahun.
Esra Tasali, Director Chicago Sleep Center, menerangkan dalam satu kenyataan bahawa kajian itu tidak dimaksudkan untuk menganalisis penurunan berat badan.
Tetapi hasilnya digunakan untuk menunjukkan kaitan tidur dengan pengambilan kalori.
“Jika kebiasaan tidur sihat dikekalkan dalam tempoh yang lebih lama, ini akan menuju pada penurunan berat badan yang penting secara klinikal dari masa ke semasa,” ujar Tasali.
“Ramai orang yang bekerja keras untuk mencari cara mengurangkan pengambilan kalori bagi membantu mengurangkan berat badan,” sambungnya.
“Hanya dengan tidur lebih banyak, kita mungkin boleh mengurangkannya dengan lebih ketara,” kata Tasali.
Para penyelidik berkata peserta kajian tidur ini diminta untuk mengesan tidur dengan peranti masing-masing yang boleh digunakan.
Peserta kajian turut mendapat 1 sesi kaunseling tidur yang dikhaskan untuk membantu memanjangkan masa tidur sehingga 8.5 jam.
Sementara itu, Pusat kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, berkata lebih dari 1/3 orang dewasa di Amerika tidak mendapat masa tidur yang cukup secara teratur.
Mereka menyarankan orang dewasa untuk tidur 7 jam atau lebih pada setiap malam demi kesihatan dan kesejahteraan yang baik.
Disamping itu, Michelle Drerup, seorang doktor di Pusat Gangguan Tidur Cleveland Clinic, menjelaskan semakin muda orang, semakin panjang tempoh masa tidur yang diperlukan.
Dan ketika meningkat dewasa kebanyakkan orang yang sihat memerlukan masa tidur 7 hingga 8.5 jam per malam.
“Mereka yang berfikir mereka boleh hidup lebih baik dan sihat dengan masa tidur yang sedikit mungkin hidupnya akan jauh lebih baik dengan menambahkan masa tidur,” terang Drerup.
Sumber: kompas