TUARAN: Lima individu cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa terbabas sendiri dan terjunam ke dalam parit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Berungis, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.18 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira lima kilometer.
Menurut kenyataan JBPM, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 2.27 pagi dan mendapati sebuah kenderaan terbabas ke dalam parit dengan lima mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Norkizan Durudin berkata, semua mangsa berjaya dibawa naik dari dalam parit menggunakan pengusung sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba.
“Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Mangsa yang terlibat terdiri daripada empat lelaki berusia antara 19 hingga 30 tahun serta seorang wanita berusia 23 tahun, dan kesemuanya dilaporkan cedera.
Operasi melibatkan seramai sembilan anggota BBP Tuaran dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera EMRS, serta dibantu agensi lain termasuk KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.44 pagi.
