TONGOD: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pelaksanaan projek Pekan Baharu Penangah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadualkan membuka tirai awal Januari tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, projek pembangunan bercampur itu adalah sebahagian daripada Belanjawan Negeri Sabah 2026 bernilai RM6.9 bilion yang dibentangkan pada persidangan DUN pada 12 Disember lalu.
Beliau berkata, Pekan Baharu Penangah dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat, selari dengan kedudukannya yang strategik berhampiran projek kilang simen di Kampung Kawayoi yang dijangka mula beroperasi pada penghujung 2026.
“Sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja awal melibatkan pengukuran tapak seluas 200 ekar, pembinaan jalan masuk, kerja tanah serta sistem perparitan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Krismas Zon Penangah, semalam.
Menurut Masiung, pembangunan Pekan Baharu Penangah akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, pembangunan berkenaan, yang terletak tidak jauh dari kilang simen berkenaan, dijangka menawarkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan sekali gus membuka lembaran baharu kepada daerah Tongod yang disenaraikan antara 10 daerah termiskin di Malaysia.
“Selain projek Pekan Baharu Penangah, beberapa projek lain di bawah RMK-13 turut dilaksanakan di daerah ini termasuk pembinaan pekan baharu Tongod serta penyambungan semula projek Kompleks Sukan Tongod yang sebelum ini terbengkalai,” katanya.
Sementara itu, Sambutan Krismas Zon Penangah yang berlangsung penuh meriah itu menghimpunkan lebih 2,000 pengunjung dengan pelbagai acara termasuk pertunjukan bunga api serta persembahan nyanyian oleh penghibur tempatan seperti Datuk Francis Landong, George Lian dan Asimjn Pugug.
Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Penguasa Paroki St. John Penangah, Paderi Andreas Barnabas, Penguasa Gereja Tampasak dan Imbak, Pedari Masri Raimiee serta Paderi Habis Olui.
