SANDAKAN: Seekor buaya air masin dianggarkan seberat kira-kira 500 kilogram dan sepanjang 13 kaki berjaya ditangkap dalam satu operasi bersepadu di kawasan pantai Pulau Lubukan, di sini, hari ini.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan memaklumkan, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung penampakan reptilia berkenaan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penduduk setempat.
Menurut kenyataan itu, buaya terbabit telah terlebih dahulu berjaya ditangkap oleh penduduk kampung sebelum tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa.
Buaya berkenaan kemudiannya dibawa ke darat menggunakan aset bot Polis Marin (PPM) sebagai langkah keselamatan awal.
“Susulan itu, APM Sandakan telah digerakkan ke lokasi dan operasi pengendalian susulan berjaya dilaksanakan melalui kerjasama bersepadu antara APM Sandakan, Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Polis Marin.
“Buaya air masin tersebut berjaya dikawal sepenuhnya tanpa sebarang insiden,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Buaya berkenaan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan dan pemantauan lanjut selaras dengan prosedur sedia ada.
APM Sandakan turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung serta semua agensi terlibat atas keprihatinan dan kerjasama erat dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti di kawasan berkenaan sentiasa terpelihara.
