KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Tambulion Laut, di sini, sejak Isnin lalu masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga dengan kawasan pencarian diperluas melibatkan pelbagai agensi.
Mangsa, Minun Kasim, 83, dipercayai hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan kampung berkenaan pada 15 Disember lalu kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada 16 Disember kira-kira jam 7.30 pagi sebelum pasukan digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 7.50 pagi, kira-kira lapan kilometer dari balai, dan operasi SAR dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta penduduk kampung.
“Operasi hari ketiga bermula seawal jam 8.21 pagi dengan pemeriksaan kesiapsiagaan anggota dan aset sebelum pencarian dilakukan mengikut sektor yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, pencarian dibahagikan kepada beberapa sektor melibatkan kawasan empangan bomba, sepanjang Sungai Lebak Moyoh hingga ke muara Sungai Pangkalan Abai, Sungai Tempasuk dan Sungai Wariu, selain kawasan jalan dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hingga ke tanah perkuburan Kampung Tambulion Laut.
Selain pencarian darat dan sungai, katanya, Unit Drone Bomba turut digunakan bagi melakukan tinjauan udara selama 25 minit di sekitar kawasan kampung, manakala Unit K9 dikerahkan bagi membantu mengesan jejak mangsa.
“Pada sesi petang, pencarian diperluas ke Sektor A berhampiran rumah mangsa dan Sektor B di kawasan Sungai Wariu dengan radius pencarian sehingga tiga kilometer persegi di beberapa sektor,” katanya.
Bagaimanapun, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6 petang selepas mangsa masih belum ditemukan dan akan disambung semula dengan maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Operasi melibatkan seramai 11 anggota BBP Kota Belud, dibantu 11 anggota PDRM, enam anggota APM, lapan anggota RELA serta kira-kira 20 penduduk kampung, dengan penggunaan sebuah lori bomba, kenderaan pacuan empat roda, sebuah bot YAPIEM, unit dron dan anjing pengesan.
