KOTA KINABALU: Tindakan pantas polis memecahkan pintu sebuah kereta Perodua Bezza dalam satu operasi yang disifatkan ‘aksi ala filem’, seperti tular di media sosial baru-baru ini, berjaya memberkas dua suspek positif dadah terlibat kes kecurian di Telipok, di sini, pada 12 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kedua-dua suspek lelaki warga tempatan masing-masing berusia 28 dan 22 tahun ditahan selepas dikesan melarikan diri menggunakan sebuah kereta sewa yang dilengkapi sistem pengesanan GPS.
Menurutnya, kejadian berpunca daripada laporan kecurian melibatkan seorang wanita tempatan berusia 56 tahun yang kehilangan sebuah beg silang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad bank, telefon bimbit, wang tunai serta kunci kenderaan, dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,500.
“Kes dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.05 petang. Hasil semakan mendapati kenderaan yang digunakan suspek adalah kereta sewa, lalu maklumat GPS disalurkan segera kepada pasukan polis di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kira-kira jam 4.20 petang pada hari sama, anggota polis yang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) berjaya mengesan kenderaan terbabit sebelum berlaku aksi kejar-mengejar di sekitar kawasan Telipok.
“Suspek enggan memberi kerjasama dan cuba meloloskan diri. Anggota polis terpaksa bertindak memecahkan pintu kenderaan bagi menghalang mereka daripada melarikan diri sebelum kedua-duanya berjaya diberkas,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui semula barangan milik mangsa yang dilaporkan hilang, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
ACP Kasim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek turut ditahan bagi membantu siasatan kes lain, selain permohonan reman akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Beliau turut mengesahkan video tangkapan yang tular di media sosial adalah rakaman sebenar tindakan anggota polis semasa menjalankan tugas, dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu pencegahan dan penyelesaian kes jenayah.
