KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi melaksanakan Program Mensejahterakan Ekonomi Penternak Kambing Sabah (MEPKAS) sebagai langkah proaktif menarik minat graduan dan golongan belia menceburi bidang penternakan kambing secara bersepadu dan mampan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program berkenaan akan dilaksanakan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) dengan fokus kepada penyediaan ternakan kambing serta peralatan asas sebagai modal permulaan kepada penternak baharu.
Menurutnya, MEPKAS memberi keutamaan kepada belia luar bandar yang berminat menjadikan penternakan sebagai sumber pendapatan, selari dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh rantaian nilai sektor agromakanan.
Beliau berkata, pelaksanaan MEPKAS adalah susulan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka bagi mewujudkan satu program berimpak tinggi yang mampu menjana pendapatan serta memperkasa ekonomi belia luar bandar melalui sektor ternakan.
“Bantuan ternakan dan peralatan yang disediakan di bawah MEPKAS akan membolehkan peserta memulakan operasi secara lebih tersusun, mengurangkan kos permulaan dan meningkatkan produktiviti penternakan,” katanya.
Jamawi berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan DVS Sabah turut akan menganjurkan kursus penternakan kambing secara percuma di Pusat Pengurusan Veterinar Tuaran bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran teknikal dan kecekapan pengurusan ladang dalam kalangan penternak serta bakal penternak.
Selain itu, katanya, DVS Sabah juga menyokong pelaksanaan Program Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menawarkan geran berbentuk barangan sehingga RM30,000 kepada belia berumur 18 hingga 40 tahun, dengan pemantauan serta bimbingan teknikal bagi memastikan projek yang dilaksanakan berdaya maju dan menyumbang kepada kelestarian industri penternakan negeri.
