KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berpandangan kegagalan hampir 800 anak Sabah mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akibat kekangan kewangan bukan berpunca daripada ketiadaan bantuan, sebaliknya disebabkan kelemahan dalam aspek pelaksanaan, penyampaian dan pemantauan bantuan sedia ada.
Dalam satu kenyataan media hari ini, pergerakan itu berkata laporan berkenaan wajar diberi perhatian serius memandangkan Kerajaan Negeri Sabah telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan khusus bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) yang memperuntukkan RM2,000 kepada pelajar ijazah sarjana muda serta RM1,500 kepada pelajar diploma, asasi dan matrikulasi, yang disifatkan munasabah untuk meringankan beban awal pelajar ketika proses pendaftaran.
Selain itu, Pemuda Gagasan Rakyat memaklumkan Kerajaan Negeri turut memperuntukkan dana biasiswa tertinggi dalam sejarah Sabah, iaitu hampir RM138 juta pada tahun ini dan dijangka meningkat pada 2026, sekali gus mencerminkan komitmen serius kerajaan terhadap pembangunan modal insan negeri.
Sehubungan itu, pergerakan berkenaan berpandangan isu tersebut perlu ditangani melalui penambahbaikan segera terhadap mekanisme pelaksanaan bantuan agar ia benar-benar sampai kepada golongan sasar. Antara langkah dicadangkan termasuk penyaluran bantuan lebih awal sebelum atau semasa proses pendaftaran IPT, pendekatan lebih proaktif dengan turun ke lapangan khususnya di kawasan pedalaman, serta usaha mengenal pasti pelajar yang tercicir maklumat atau menghadapi kesukaran dalam proses permohonan.
“Tiada anak Sabah seharusnya tercicir daripada meneruskan pendidikan hanya disebabkan kelemahan sistem penyampaian,” menurut kenyataan itu.
Pemuda Gagasan Rakyat turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk agensi berkaitan dan institusi pengajian tinggi bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Pendidikan adalah pelaburan masa depan Sabah dan tanggungjawab memastikan akses yang adil tidak boleh terhenti pada pengumuman dasar semata-mata, sebaliknya mesti sampai dan dirasai rakyat hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.
